Artikel asal oleh 9W2VWT <--- Klik To the original artikel
Selain penguatkuasa atau pasukan beruniform, kita sering melihat sebahagian individu membimbit atau sedang berkomunikasi menggunakan walkie talkie atau kenderaan-kenderaan yang terpasang kelengkapan antena yang tinggi dengan pelbagai jenisnya. Tetapi terfikirkah kita siapakah sebenarnya mereka?
Radio amatur merupakan salah satu daripada jenis komunikasi yang menggunakan peralatan radio dan elektronik. Penggunaan radio amatur di dalam bidang komunikasi amatlah luas kerana ianya dapat digunakan bagi menghubungkan seorang yang berada samada di seluruh dunia dengan menggunakan set radio yang tertentu dengan frekuensi yang tertentu.
Seperti yang diketahui, komunikasi menggunakan radio hanyalah sekadar bercakap sahaja, namun dengan perkembangan teknologi, sistem perhubungan yang dahulunya menggunakan sistem anolog kini telah bertukar kepada sistem digital yang membenarkan kita bukan hanya bercakap, malahan mampu melihat seperti sebuah televisyen yang turut boleh dipancarkan hampir ke sebahagian besar dunia. Kebanyakan daripada pengguna radio amatur memancarkan signal mereka melalui satelit yang berada pada orbit di bumi ataupun menggunakan bulan sebagai pemantul isyarat bagi memancarkan isyarat yang dipancarkan melalui set radio mereka.
Terdapat juga sebahagian daripada mereka yang berkomunikasi menggunakan "Kod Morse". Operator radio amatur merupakan sebahagian dari penduduk dunia yang mempunyai isyarat penggilannya (call sign) sendiri sebagai pasport untuk ke seluruh dunia dengan hanya melalui gelombang udara. Sempadan negara, ideologi politik, warna kulit, pangkat atau kedudukan seseorang adalah sama sekali tiada di dalam dunia radio amatur, namun masih terdapat sebahagian kecil negara di dunia ini masih tidak membenarkan penggunaannya sebagai sebahagian dari aktiviti pada masa lapang.
Keseronokan menggunakan perhubungan radio oleh operator-operatornya ke negara lain menyebabkan sesetengah darinya menjalinkan ikatan persahabatan yang akrab dengan hanya berkomunikasi melalui frekuensi.
Operator radio amatur juga boleh menggunakan satelit amatur untuk berhubung sesama sendiri. Satelit ini dibangunkan dan diseliakan oleh pertubuhan radio amator itu sendiri secara suka rela seperi AMSAT.
TUJUAN
Radio amatur adalah untuk semua orang tanpa mengira jantina, umur, pangkat, agama, bangsa atau keupayaan. Sebagai seorang operator radio amatur, mereka akan dapat sesuatu yang menyeronokan dengan suatu sentuhan bagi kepuasan diri mereka. Di Malaysia juga sesiapa sahaja boleh menjadi ahli dan berhubung ke seluruh dunia. Radio amatur akan menyediakan suatu pengalaman yang akan menjerumuskan diri kita ke dalam bidang elektronik yang semakin berkembang.
Menariknya, operator radio amatur boleh disertai oleh sesiapa sahaja dari golongan bawahan hingga ke peringkat atasan seperti Raja Hussein (JY1A) dari Jordan, Raja Bumibol Adulyadej (HS1A) dari Thailand, Raja Juan Carlos dari Sepanyol, Senator Barry Goldwater (K7UGA) dan ramai lagi yang menjadi sebahagian dari rakan radio amatur.
CARA BEROPERASI
Komunikasi melalui radio tidak seperti penggunaan telefon bimbit kerana liputannya tidak terbatas kepada kawasan berpenduduk sahaja. Keupayaan radio bergantung kepada antena dan juga jaluran (band) yang digunakan. Semakin tinggi antena (atau semakin banyak elemen sesebuah antena itu, semakin baik keupayaannya).
Di dalam keadaan darurat seperti bencana alam, peranan radio amatur amat menonjol di dalam memberikan kemudahan perhubungan. Ketika bencana di Malaysia seperti tragedi Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang telah mengorbankan 48 nyawa, Malaysian Amateur Radio Transmitters' Society (MARTS) telah tampil memberikan kemudahan perhubungan komunikasi di antara lokasi runtuhan dengan pihak hospital. Pada Disember 2008, Malaysian Amateur Radio Emergency Service Society (MARES) telah membantu Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan juga pihak hospital di Bukit Antarabangsa, Ampang dalam memberi liputan dan juga bantuan dari segi komunikasi kepada pihak berkuasa yang menjalankan kerja-kerja mencari & menyelamat. Ketika Disember 2014 pula, Persatuan Rekreasi Radio Amatur Pahang dengan kerjasama persatuan radio amatur lain telah berganding bahu demi meluaskan rangkaian perhubungan dengan menubuhkan pusat komunikasi di Angkasapuri bagi memudahkan perhubungan pasukan sukarela menyampaikan bantuan. Usaha ini turut mendapat bantuan dan sokongan dari pemegang lesen radio amatur individu sebagai inisiatif melancarkan pergerakan bantuan ke kawasan kritikal.
Secara asasnya, terdapat 2 jenis komunikasi di dalam radio amatur iaitu secara simplex dan melalui pengulang. Simplex merupakan kaedah perhubungan radio secara point to point. Pengulang (repeater) pula merupakan perhubungan melalui sejenis peranti yang menerima (RX) dan menghantar (TX) kembali kepada alat komunikasi. Pengulang lazimnya terletak di kawasan tinggi seperti gunung/bukit dan bangunan tinggi bagi membolehkan ia menerima dan menghantar semula pancaran ke tempat yang lain pada jarak yang lebih luas.
Pengulang penting kerana ada kalanya komunikasi agak sukar kerana terlindung oleh halangan seperti struktur binaan seperti bangunan mahupun muka bumi seperti bukit dan gunung. Oleh yang demikian, bagi membolehkan audio disampaikan ke kawasan yang terlindung, pengulang diperlukan. Di #Malaysia hampir kesemua pengulang dimiliki oleh persatuan radio amatur seperti MARTS, MARES, ASTRA, JASRA dan lain-lain lagi yang boleh dimanfatkan oleh ahlinya untuk berkomunikasi dengan rakan lain samada secara lokal atau seluruh negara.
UNDANG-UNDANG
Lesen radio amatur di #Malaysia terbahagi kepada 2 kelas iaitu A dan B. Lesen B merupakan lesen asas yang dikeluarkan kepada calon yang lulus RAE. Lesen B membolehkan operator radio amatur mengendalikan radio pada julat dan kuasa pancaran (watt) yang lebih rendah berbanding pemegang lesen kelas A. Pemegang lesen kelas B akan mendapat callsign yang bermula dengan 9W atau disebut sebagai Nine-Whiskey manakala pemegang lesen kelas A disebut sebagai 9M atau Nine-Mike diikuti dengan Call Area "2" - Semenanjung, "6" - Sabah dan "8" - Sarawak' dan tambahan gabungan dua atau tiga aksara bagi mewakili seseorang operator radio amatur. Contoh callsign yang lengkap seperti berikut:
- 9M2PJU & 9W2WTF (Semenanjung).
- 9M6TMT & 9W6BOY (Sabah).
- 9M8DB & 9W8PRO (Sarawak).
'Callsign' tersebut adalah unik bagi setiap pemiliknya dan turut digunapakai untuk berhubung ke seluruh dunia.
Mereka yang ingin mendapatkan lesen kelas A, perlu terlebih dahulu memiliki lesen kelas B untuk sekurang-kurangnya 1 tahun sebelum boleh memohon untuk menduduki ujian CW (continous wave) atau Kod Morse. Hanya mereka yang lulus sahaja akan diberikan lesen kelas A dan boleh mengendalikan perkakasan radio berkeupayaan tinggi selain boleh berhubung menggunakan Kod Morse hanya dengan menggunakan bateri berkuasa 9 volt.
Di Malaysia, perkhidmatan radio amatur dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Seseorang yang ingin menjadi operator radio amatur perlu terlebih dahulu menduduki Peperiksaan Radio Amatur atau RAE (Radio Amateur Examination) yang dikelolakan oleh SKMM. Calon yang lulus akan dibenarkan untuk membuat permohonan untuk mengoperasikan perkakasan radio amatur dan diberikan callsign atau tanda pengenalan untuk berkomunikasi. Hanya selepas memperolehi AA atau Apparatus Assignment (penruntukan radas/lesen) dari SKMM, seseorang boleh mula ber"QSO" atau berkomunikasi dalam jaluran.
Setiap negara mempunyai badan yang bertanggungjawab memantau semua aktiviti yang berkaitan dengan radio amatur sebagaimana SKMM di Malaysia. Badan ini diiktiraf oleh ITU (International Telecommunication Union) iaitu badan yang menyelia dan memantau aktiviti berkenaan telekomunikasi pada peringkat antarabangsa. Peruntukan callsign untuk sesuatu negara adalah dibuat di peringkat ITU. Badan khas yang memantau operasi radio amatur di peringkat ITU adalah IARU (International Amateur Radio Union).
IARU hanya mengiktiraf satu persatuan radio amatur bagi sesebuah negara. Pada ketika ini di Malaysia, persatuan radio amatur diwakili oleh MARTS yang merupakan persatuan yang mewakili semua operator-operator radio amatur berlesen.